Stesen radio GEGAR mahu terus mengekalkan kedudukannya sebagai stesen radio nombor satu di kawasan Pantai Timur.

Sesuai dengan slogan Permata Pantai Timur, GEGAR sentiasa fokus untuk memberikan kandungan terbaik bagi menghiburkan pendengar setianya yang tidak henti menyokong.

"GEGAR akan memastikan setiap segmen yang disiarkan ke udara mempunyai kualiti yang baik serta ada daya tarikan tersendiri sehingga diangkat sebagai jenama nombor satu di Pantai Timur.

"Seiring dengan perubahan semasa, stesen yang dahulunya dikenali sebagai THR Gegar kini hanya menggunakan jenama GEGAR," jelas Pengurus Kandungan GEGAR, Raja Nadia Salwana.

Tambah Raja Nadia, GEGAR telah merangka pelbagai program menarik sepanjang tahun 2018 untuk mendekatkan diri dengan pendengar Pantai Timur.

"Kami telah merencanakan program berkualiti serta aktiviti-aktiviti menarik untuk peminat di luar sana. Membuka tirai 2018, GEGAR terlibat dengan majlis ramah mesra bersama media, penyanyi dan pendikir Pantai Timur di G-Orange Mall, Kota Bharu, Kelantan.

"Selain itu, GEGAR bakal melancarkan pencarian bakat baru untuk menyertai keluarga GEGAR dalam #GengBaruGegar.

"Seterusnya, penyampai GEGAR Pagi, Shah dan Anna juga akan terlibat dalam acara GEGAR Pagi Jelajah IPT yang akan meneroka beberapa destinasi terpilih di Pantai Timur," kata Raja Nadia lagi.

Majlis ramah mesra bersama media, penyanyi dan pendikir Pantai Timur yang diadakan pada Sabtu lalu berlangsung sukses dengan kerjasama Akademi Memandu Kist, komposer terkenal Eddie Hamid, Eddie Hamid FC serta The Iron G-Orange Mall.

Teks oleh: Kamaruddin Razal