Sinonim dengan label seksi yang diletakkan netizen kepada bintang Malaysian Idol 2, Nita Hamzah, penyanyi itu bagaimanapun cuba mengikis imej berkenaan daripada pandangan umum.

Kata Nita, 38, dia sendiri pelik apabila sering dikaitkan dengan imej seksi walaupun pakaian yang digayakan tidak mendedahkan susuk tubuhnya.

"Saya pun pelik apabila orang kata saya seksi padahal baju yang saya pakai semuanya tutup tubuh.

"Secara peribadinya, ada yang melihat saya seksi bukan kerana penampilak sebaliknya pembawaan diri.

"Berbanding awal-awal kemunculan dulu, rasanya penampilan saya sekarang tidak lagi seksi seperti dahulu, saya bergaya ikut kesesuaian majlis dan acara," katanya kepada Astro Gempak.

Nita yang kini kembali berambut pendek mengakui perubahannya diterima baik dan disokong oleh keluarga dan bakal suaminya.

Penyanyi itu ditemui pada majlis sambutan ulang tahun penyanyi Datin Alyah di The Curve, Damansara baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, selepas lebih 10 tahun tidak merakamkan lagu, Nita muncul dengan single terbaharu Hadirlah Kekasih ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Iman Imran.

Teks oleh: Amri Hassan