Penyanyi yang popular melalui lagu Bayang, Khai Bahar mengakui sekarang bukan masa yang sesuai untuk tampil menghasilkan album penuh.

Menurut Khai Bahar, dia ingin memberi fokus kepada beberapa single yang ingin dikeluarkan tidak lama lagi.

"Bagi saya tumpuan sekarang untuk keluarkan single demi single dan fokus kepada promosi dahulu sebelum keluarkan album penuh.

"Ini kerana saya mahu mengumpul material yang berkualiti untuk menghasilkan album nanti.

"Selepas ini saya akan muncul dengan dua single duet bersama dengan seorang penyanyi baharu, Fatin Husna dan penyanyi Indonesia, Tiffany.

"Saya juga bersyukur kerana diberi peluang untuk menyanyikan lagu OST filem dari Indonesia yang berjudul Doa Di Jabbah," katanya kepada Astro Gempak.

Khai berkata demikian ketika ditemui pada malam Anugerah Digital Muzik Era 2018 di Galaxy Banquet Hall Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada malam tesebut Khai telah memenangi kategori Lagu Cover Terbaik Era menewaskan finalis lain seperti Projektor Band, Ara Johari, Syafiq Farhain dan Aiman Tino.