Pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun mencuri perhatian ramai apabila berpantun mengikut lenggok di majlis pernikahan puteri sulungnya, Chryseis Tan dan pasangan, pewaris empayar perniagaan terbesar SM Faliq Nasimuddin.

Menerusi satu video yang dimuat naik di 'insta story' laman sosial Instagram milik syarikat pengurusan acara @laskarsonas, video menunjukkan kepetahan luar biasa yang ditonjolkan Tan Sri Vincent Tan berbalas pantun kepada pihak lelaki yang diwakili oleh SM Faisal SM Nasimuddin.

Video itu meraih perhatian dan sorakan dari tetamu yang hadir di majlis tertutup ijab kabul puteri sulungnya dan pasangan.

Antara bait-bait pantun yang dibalas pihak perempuan kepada lelaki seperti berikut :

Jati tuan, jati Melayu,

Jati kami didalam hati,

Janji tuan masa yang lalu,

Harap disampaikanlah kepada kami.


Bunga melur warnanya merah,

Warnanya terang memikat hati,

Balasan kami tidaklah mewah,

Sembilan dulang seperti dijanji.

Majlis penuh adat istiadat terbabit berlansung di resort The Chateau, Bukit Tinggi di Bentong, Pahang pada Jumaat.

Pasangan itu telah mengumumkan pertunangan mereka pada Julai lepas menerusi laman media sosial, Instagram.

Anak Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin dan anak Tan Sri Vincent Tan itu mengikat tali pertunangan semasa mereka sedang bercuti di Marrakesh, Maghribi.

Sumber: Astro Awani