Penyanyi Indah Ruhaila mengakui tidak menolak untuk mempunyai zuriat dalam masa terdekat ini setelah hampir sebulan mendirikan rumah tangga.

Menurut Indah, 31, dia dan suaminya, Ahmad Shariff Ahmad Taufik berserah perkara itu kepada rezeki dan memohon orang ramai supaya mendoakan yang terbaik untuk dirinya.

"Alhamdulillah, setelah hampir sebulan berumah tangga banyak sangat perubahan yang saya rasai dan saya masih belajar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

"Walaupun masih di peringkat awal perkahwinan namun ada juga ramai pihak bertanyakan mengenai anak namun apa yang saya boleh katakan kami menyerahkan perkara itu kepada rezeki.

"Kami sebenarnya tidak merancang dan tidak menolak rezeki sekiranya dikurniakan anak dalam masa terdekat ini.

"Saya berharap agar orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat kami semoga segalanya akan dipermudahkan," katanya kepada AStro Gempak.

Indah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu bertajuk Mimpi Indah di Flora Terrace, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Indah dan Shariff telah melangsungkan perkahwinan pada 24 Disember lalu di Bizmillah Wedding Center, Subang Jaya.