Pelakon popular Korea, Kim Woo Bin dilaporkan tidak akan menyertai latihan ketenteraan dalam masa terdekat ini kerana masih menjalani rawatan kemoterapi akibat kanser tekak.

Menurut laporan Allkpop, Kim Woo Bin masih menjalani rawatan susulan dan kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.

"Kim Woo Bin ada menerima notis untuk melaporkan diri ke kem tentera selepas dia disahkan menghidap kanser tekak pada Mei tahun lalu.

"Namun akibat daripada masalah yang dihadapi dia terpaksa menunda kerana harus mendapatkan rawatan dan menjalani rawatan kemoterapi.

"Selepas menjalani pemeriksaan fizikal, keadaan Kim Woo Bin kini masih belum kuat untuk menyertai program tentera buat masa ini.

"Buat masa sekarang memang Kim Woo Bin tidak akan menyertai latihan tentera itu sehingga dia betul-betul sihat sepenuhnya," kata pihak pengurusannya.

Terdahulu, agensi Woo Bin, SidusHQ mengesahkan pelakon itu menghidap kanser Nasopharyngeal dalam satu kenyataan semalam.

Nasopharyngeal merupakan sejenis kanser yang berlaku di antara saluran pernafasan dan tekak.

Bagaimanapun, kanser tersebut dikesan dengan cepat dan masih lagi berada diperingkat awal.

Sumber: Allkpop