Anak sulung kepada pasangan pelakon Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin, Syeriv Samheizy bakal mengeluarkan jenama baju Melayunya sendiri yang diberi nama Baju Melayu Mat Yip.

Menurut Syatilla, perancangan itu masih dalam peringkat awal dan koleksi baju Melayu Mat Yip akan dikeluarkan sempena Aidilfitri tahun ini.

"Anak saya semakin mendapat perhatian ramai dan jumlah pengikut Instagramnya saja sudah lebih setengah juta.

"Populariti Syeriv membuka ruang untuk mengeluarkan jenama baju Melayu Mat Yip sempena Aidilfitri nanti.

"Bukan bermakna kami menggunakan anak untuk kaut untung, sebaliknya ini rezeki Syeriv sendiri dan peluang ini untuk kesenangannya pada masa akan datang," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Top 20 Anugerah MeleTOP Era (AME 2018) di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Syatilla turut menafikan istilah jual anak apabila Syeriv kini dilihat lebih menonjol berbandingnya mahu pun Sam.

"Tiada istilah jual anak. Syeriv seperti anak-anak selebriti yang lain, apabila mendapat peluang yang sama mereka pun akan menggunakan ruang itu seperti kami," tambahnya.

Sempena AME2018, Syeriv tercalon dalam kategori Si Cilik MeleTOP di samping Lara Alana, Yusuf Iskandar, Aaisyah Dhia Rana dan Lara Alana.

Undian fasa pertama AME 2018 mula dibuka mulai 22 Januari 2018 bermula 6 petang hingga 23 Februari 2018 untuk anda menentukan lima calon terbaik daripada 20 pencalonan awal.

Undian boleh dibuat secara online di tiga buah platform iaitu di laman web rasmi www.anugerahmeletopera.com.my, aplikasi ERA dan aplikasi RAKU yang boleh dimuat naik secara percuma di App Store dan Google Play Store.

Seterusnya undian fasa kedua untuk menentukan pemenang akhir untuk setiap kategori pula boleh dibuat menerusi laman web rasmi, aplikasi ERA dan RAKU serta kiriman SMS bermula 6 Mac 2018, pukul 1 tengahari hingga 8 April 2018, pukul 12 tengahari.

Klik di sini untuk melihat senarai top 20 AME 2018.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @syerivsamheizy