Aktor Remy Ishak akui belum mempunyai perancangan terdekat untuk berkahwin dengan tunangnya.

Remy Ishak berkata dia kini sedang mengukuhkan kewangan dan ekonominya sebagai persediaaan untuk berumah tangga.

"Sekarang ni saya sedang kumpul duit dulu. Saya bukan orang yang senang kerana selepas ini perlu menanggung keluarga pula.

"Insha-Allah bila sudah cukup semuanya baru boleh ke arah itu.

"Lagi pun sekarang ini saya sedang sibuk dengan kerjaya seni saya," katanya kepada Astro Gempak.

Remy mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli perniagaan, Ezza Yusof pada Mei tahun lalu.

Apabila ditanya adakah dia tidak takut menempuh dugaan bertunang dalam tempoh yang lama, Remy beritahu ia proses yang perlu dilalui.

"Jika dugaan ketika bertunang pun kita tak boleh lalui bagaimana hendak meneruskan ke alam perkahwinan.

"Jadi saya tidak kisah melaluinya dan dari situ kita boleh lihat sama ada kami tahan atau tidak untuk menempuhnya sebelum hidup bersama," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Remy bakal muncul dalam supertelemovie Do[s]a yang turut membariskan pelakon-pelakon seperti Datuk M.Nasir, Asharaf Sinclair, Hisham Hamid dan Shenty Feliziana.

Do[s]a ditayangkan di platform digital ‘on demand’ dan Astro GO serentak dengan tayangan di televisyen menerusi Astro First (saluran 480) serta platform NJOI mulai 14 Februari ini.

Teks oleh: Syafiqah Jalal