Pelakon Hairul Azreen hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk memberi keterangan berhubung kes melepaskan tembakan ke udara tanpa memiliki lesen di Kampung Parit Jerman, Sitiawan, dua tahun lalu.

Menurut Hairul, meskipun banyak melakonkan watak aksi sebelum ini, namun beliau tidak menyangka tindakan melepaskan tembakan menjadi kesalahan.

"Sebenarnya, saya sendiri tidak tahu dengan rakam gambar (sambil memegang senapang dan menembak), salah di sisi undang-undang. Saya banyak berlakon dalam filem aksi. Jadi, saya mahu rasa pegang sendiri.

"Apabila diberitahu polis sebentar tadi, ini pengajaran buat saya dan kesilapan yang saya tak akan saya ulangi lagi. Alhamdulillah, saya dibebaskan dengan jaminan polis.

"Ini pengajaran kepada saya dan juga orang lain juga yang tidak tahu ia satu kesalahan," katanya.

Rakaman video dengan tempoh 49 saat yang tersebar sejak beberapa hari lalu itu, menunjukkan Hairul Azreen melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah jenis SK500, dimiliki bapa saudaranya berusia 70 tahun, yang turut terlihat dalam video berkenaan.

Hairul Azreen berkata, aksi menembak itu dirakam dua tahun lalu dan dia tidak menyangka video itu tersebar luas.

"Benda nak jadi, hendak buat macam mana? Bagaimanapun, sesi memberi keterangan sebentar tadi berjalan lancar dan polis banyak menerangkan mengenai perkara yang saya tidak tahu, dan kebanyakannya perihal undang-undang.

"Walaupun saya berlakon dalam filem kepolisan atau tentera, undang-undang tetap perlu dijaga," katanya.

Menceritakan kejadian itu, Hairul Azreen berkata, beliau memancing ketika pulang ke kampungnya di Pantai Remis dan singgah ke kampung bapa saudaranya, di Kampung Parit Jerman.

Sumber: Berita Harian

Foto: Berita Harian, Instagram Hairul Azreen