Pelakon Aidil Aziz tidak menolak kontroversi penahanannya kerana kes dadah menjadi punca dia masih belum mempunyai teman wanita.

Kata Aidil, 31, dia masih belum menemui calon wanita yang sesuai untuk dijadikan isteri.

"Benar, saya tidak menafikan mungkin wanita takut untuk mendekati saya kerana masih dibayangi kisah lalu.

"Boleh jadi itu sebabnya saya masih solo sampai sekarang.

"Tetapi ia bukanlah penghalang untuk saya kembali fokus dalam kerjaya dan bisnes yang sedang diusahakan sekarang," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program 2018 Media Prima di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Aidil mengakui keluarganya juga ingin melihatnya berumah tangga namun dia tidak terdesak untuk mencari wanita menjadi suri hidupnya.

"Saya tidak kisah siapa pun calon isteri saya, cuma saya mengharapkan dia memahami karier saya dan berada di samping saya ketika senang dan susah.

"Perihal jodoh, ajal dan maut semua ketentuan Allah dan saya terimanya dengan terbuka. Tidak kisahlah lambat atau cepat," tambahnya.

Aidil dan dua rakannya didakwa atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat hampir 500 gram pada Oktober 2016.

Bagaimanapun, Aidil terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur meminda pertuduhan mengedar dadah kepada memiliki dadah pada Disember tahun sama.

Teks oleh: Amri Hassan