Pelakon Yana Samsudin yang juga adik ipar kepada aktor kontroversi Datuk Farid Kamil percaya insiden yang berlaku baru-baru ini bakal diselesaikan dengan cara baik.

Yana yang terlebih dahulu mengenali Farid sebelum suaminya, Fadzil Zahari yakin Farid akan bangkit dengan lebih baik selepas ini.

"Sebelum Farid bergelar abang ipar saya, dia terlebih dahulu menjadi 'abang' saya ketika kami bersama-sama di bawah bumbung MIG suatu ketika dahulu.

"Saya kenal dia dan sebagai adik ipar dan rakan industri, Farid bukan seperti yang sedang berlaku padanya sekarang," kata Yana kepada Astro Gempak.

Yana juga melihat hikmah yang berlaku kepada Farid membuka ruang kepadanya untuk memperbaiki diri.

"Bagusnya kerana pada usia 37 tahun dia diuji dengan ujian yang berat.

"Dia masih muda dan jika diizinkan Allah, dia ada banyak ruang untuk memperbaiki diri.

"Saya yakin Farid akan bangkit menjadi lebih baik dan berharap semua yang mengikuti kesnya mendapat pengajaran," tambah Yana.

Sejak dua minggu lalu, Farid menjadi bualan ramai apabila apabila berlakunya insiden dia mencederakan anggota polis dan orang awam selain dakwaan memasukkan dadah dalam badan.

Semalam, Farid mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan dibenarkan ikat jamin RM3,000.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @yanasamsudin