Penyanyi kelahiran Singapura, Aisyah Aziz belum memikirkan mengenai soal kahwin di usia sekarang.

“Sekarang umur saya baru 23 tahun. Sejujurnya, saya belum berfikir mengenai perancangan untuk berkahwin atau menamatkan zaman bujang.

“Mungkin di usia 26 atau 27 nanti. Buat masa sekarang, saya lebih selesa bekerja untuk mencapai cita-cita dalam bidang seni yang saya cintai,” katanya ketika ditemui di majlis peragaan fesyen jenama Fatimah Mohsin sempena The Wedding KL 2018 baru-baru ini.

Mengakui sedang mengenali hati budi seseorang, Aisyah tidak mahu terlalu memperkatakan mengenai hubungan peribadinya di laman sosial.

“Saya sedang rapat dengan seorang jejaka. Tetapi saya tidak berkongsi di laman sosial mengenai hubungan tersebut.

“Saya selesa untuk tidak berkongsi perihal hubungan kerana semuanya masih belum disahkan lagi. Saya juga tak mahu datangkan tekanan kepada diri sendiri,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal