Selepas mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan dua tahun lalu, penyanyi Marsha Milan Londoh mengakui lebih selesa tinggal bersama keluarga mentuanya berbanding duduk berasingan.

Kata Marsha, dia lebih terdidik dan memudahkan urusannya untuk lebih mendalami ilmu agama Islam sepanjang tinggal bersama keluarga besar itu.

"Selepas berkahwin saya masih dalam proses mengenal agama Islam dengan lebih dekat, jadi apabila bersama ibu mentua saya, proses itu menjadi lebih mudah.

"Tahun lepas pun saya berkesempatan untuk mengerjakan umrah bersama-sama keluarga mentua yang banyak dibimbing mereka.

"Semenjak tinggal sebumbung, ibu dan bapa mentua saya juga banyak menolong saya mendekatkan diri kepada agama dan Allah," katanya ketika ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta barang kemas De Lunaria di Restoran Rebung Chef Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Marsha juga mendedahkan dia sering terikut-ikut dengan loghat Utara yang dituturkan oleh keluarga mentuanya.

"Ibu mentua saya dari Kedah dan selebihnya dari Pulau Pinang, mula-mula memang kekok untuk saya memahami pertuturan mereka namun lama-kelamaan sudah terbiasa.

"Sekurang-kurangnya kalau ditawarkan watak anak mami saya sudah boleh bercakap loghat Utara," tambahnya.

Selain itu, Marsha mengakui tinggal sebumbung dengan keluarga besar mendisiplinkan dirinya untuk bangun awal pagi dan menambah kemahiran memasak pelbagai juadah setiap hari.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @marshamilan