Selepas muncul dengan empat filem di negara seberang, pelakon Nur Fazura bakal membintangi sebuah filem seram di Indonesia.

“Alhamdulillah, rezeki semakin murah untuk saya beraksi di layar perak Indonesia. Insya-Allah, saya bakal memasuki set penggambaran sebuah filem seram di Indonesia.

“Judulnya saya belum boleh dedahkan lagi tetapi jika semua urusan berjalan lancar, bulan Februari saya bakal ke Jakarta untuk membintangi filem seram tersebut,” kata Fazura.

Tambah Fazura, dia tidak rasa terasing setiap kali berlakon dengan produksi filem Indonesia kerana sikap peramah krew serta pelakon lain.

“Saya belum pernah menghadapi sebarang masalah ketika menjayakan mana-mana filem Indonesia. Mereka tidak bersifat sombong dan menerima kehadiran saya dengan hati terbuka.

“Mereka membuatkan saya rasa sangat selesa dan hubungan semua pelakon dan krew produksi terjalin seperti satu keluarga besar,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, filem lakonan Fazura, Ayat Ayat Cinta 2 bersama Fedi Nuril, Dewi Sandra, Chelsea Islan, Tatjana Saphira dan Bront Palarae masih hangat ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 11 Januari lalu.

Teks oleh: Kamaruddin Razal