Pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha akui gementar untuk kembali beraksi dihadapan kamera selepas dua tahun tidak berlakon.

Menurut Daiyan, dia risau sebaik sahaja menerima tawaran melakonkan watak Vera dalam filem terbarunya, Busker.

“Selepas dua tahun tidak berlakon memang saya akui agak kekok. Hari pertama dapat panggilan untuk hadiri sesi ujibakat, saya dah rasa gementar.

“Peluang hanya datang sekali, jadi saya kuatkan semangat dan saya fikir tak salah kalau mencuba.

“Selepas beberapa bulan ujibakat berlalu, masih belum ada panggilan. Ingatkan tak dapat, saya dah pasrah.

“Namun inilah yang dikatakan rezeki, tanpa disangka saya dapat melakonkan watak Vera. Saya juga ada meluahkan rasa risau kepada pengarah.

“Saya kata betul ke mahu ambil berlakon, saya risau kekok depan kamera. Namun selepas diyakin oleh pengarah, saya kembali yakin untuk beraksi.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya bersyukur kerana terima banyak komen positif daripada penonton,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Daiyan menjelaskan dia menolak tawaran berlakon selama dua tahun kerana mahu memberikan fokus terhadap pengajiannya.

“Saya dah tak berlakon selama dua tahun kerana mahu berikan fokus pada pelajaran jadi saya terpaksa tolak tawaran buat sementara waktu.

“Penggambaran selalunya makan masa yang agak panjang dan saya pula hampir setiap hari ada kelas. Kalau cuti pun dalam jangka masa yang pendek.

“Tawaran berlakon selalu tidak kena dengan jadual belajar dan saya tidak mahu tangguhkan pengajian. Jadi saya ambil keputusan untuk fokus terhadap pelajaran terlebih dahulu,” jelasnya.

Selain Daiyan, filem Busker turut dibintangi oleh Hafeez Mikail, Anas Ridzuan, Bulan dan Mas Khan.

Filem arahan Syed Khairul Fariz ini telah pun ditayangkan dipawagam bermula 11 Januari 2018.

Foto: Instagram @daiyantrisha

Teks oleh: Mya Amri