Pengacara dan usahawan, Neelofa mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan yang diberikan disebabkan sibuk dengan tugas.

Menurut Neelofa, dia akan cuba mengambil sekurang-kurangnya satu tawaran lakonan setahun untuk berlakon drama atau filem.

"Kalau ikutkan, jadual saya pada tahun ini cukup padat dengan menguruskan syarikat, mengacara dan tugasan di sektor korporat.

"Kalau boleh dalam setahun saya mahu mengambil satu projek kerana bagi saya lakonan mampu menjadi ruang untuk melupakan seketika kepenatan tugas.

"Sebenarnya, banyak tawaran terpaksa saya tolak disebabkan kekangan masa yang tidak mengizinkan,"katanya kepada Astro Gempak.

Neelofa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman pencalonan awal Top 20 Anugerah Meletop Era (AME 2018), di Hotel Hilton Kuala Lumpur, pada Isnin.

AME 2018 bakal dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad, 8 April 2018 bermula pukul 9 malam di empat buah saluran utama iaitu Astro Ria (104), Astro Prima (105), Astro Ria HD (123) dan Astro Maya HD (134).

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan dan penonton diberikan kuasa sepenuhnya untuk menentukan pemenang.

16 kategori yang dipertandingkan ialah, Lagu MeleTOP, Penyanyi MeleTOP, Artis Lawak MeleTOP, Hos MeleTOP, Drama MeleTOP, Filem MeleTOP, Pelakon MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP, Program Radio MeleTOP, Artis Baharu MeleTOP, Grup/Duo MeleTOP, Fesyen MeleTOP, Program MeleTOP, Si Cilik MeleTOP, Couple MeleTOP dan Penyampai Radio MeleTOP.

Undian fasa pertama mula dibuka mulai 22 Januari 2018 bermula 6 petang hingga 23 Februari 2018 untuk anda menentukan lima calon terbaik daripada 20 pencalonan awal.

Undian boleh dibuat secara online di tiga buah platform iaitu di laman web rasmi www.anugerahmeletopera.com.my, aplikasi ERA dan aplikasi RAKU yang boleh dimuat naik secara percuma di App Store dan Google Play Store.

Seterusnya undian fasa kedua untuk menentukan pemenang akhir untuk setiap kategori pula boleh dibuat menerusi laman web rasmi, aplikasi ERA dan RAKU serta kiriman SMS bermula 6 Mac 2018, pukul 1 tengahari hingga 8 April 2018, pukul 12 tengahari.

Klik di sini untuk melihat senarai top 20 AME 2018.