Vokalis kumpulan Armada, Rizal akui mereka tidak pernah terfikir mahu mencari pengganti untuk pemain bass kumpulan itu, Endra yang menderita sakit Radang Selaput Otak (meningitis).

Rizal berkata, sudah enam tahun Endra tidak dapat mengadakan persembahan bersama Armada kerana penyakitnya.

“Endra hanya tiada ketika kami mengadakan persembahan, bukan kerana dia tidak mahu tetapi sebaliknya disebabkan oleh keadaan kesihatannya.

“Penyakit itu menyebabkan Endra sukar untuk bergerak secara aktif dan dia akan berasa cepat letih.

“Jadi apabila melakukan persembahan sememangnya banyak menggunakan tenaga dan lebih baik sekiranya Endra tidak memudaratkan kesihatannya.

“Untuk kerja di studio dan penghasilan lagu, Endra masih lagi terlibat dan sebagai sahabat, kami tidak pernah terfikir untik mencari pengganti lain.

“Bagi kami, Armada itu hanya berlima dan Endra tidak mungkin ada penggantinya, cuma kami hanya akan mengambil pemain bass sambilan setiap kali mengadakan persembahan,” jelasnya.

Mereka ditemui selepas sidang media pelancaran album berjudul ‘Maju Terus Pantang Mundur dan konsert Armada bertempat di Red Box Plus, Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, Rizal memberitahu Endra akan hadir di konsert Armada yang bakal berlangsung pada 17 Mac ini walaupun tidak membuat persembahan.

“Walaupun tidak berada di pentas, Endra tetap akan hadir untuk memberikan sokongan dan kehadirannya amat bermakna buat kami,” ujarnya.

Armada dianggotai oleh Rizal (vokal), Radha (gitar), Mai (gitar), Andit (dram) dan Endra (bass).

Konsert Era & Empire Live Present Armada Asal Kau Bahagia Tour ini akan berlangsung pada 17 Mac bertempat di KL Live @ Live Center, Kuala Lumpur.

Tiket konsert boleh didapati dengan harga RM 109 (tiada cd), RM126 (beserta CD) dan VIP berharga RM194 (beserta CD) itu sudah mulai dijual di AIRASIA REDTIX.

Foto: Instagram Armada Band

Teks oleh: Mya Amri