Penyanyi Syamel yang juga finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) 32, teruja melihat keunikan trofi pertandingan berprestij yang direka khas tahun ini.

Menariknya, trofi ‘bling-bling’ AJL 32 itu dicipta untuk menampilkan kelainan dan mendapat sentuhan pereka fesyen tersohor, Rizman Ruzaini.

It’s truly an honour for Rizman Ruzaini to get the opportunity to design an iconic trophy for Anugerah Juara Lagu 32. Thank you so much @tv3malaysia for believing in us! Alhamdulillah #AJLXRR #FASHIONandMUSIC #rizmanruzaini * #photographby @saufinadzri

A post shared by rizmanruzaini (@rizmanruzaini) on


Keunikan trofi tersebut telah menarik perhatian Syamel yang turut mempertaruhkan dua buah lagu iaitu Aku Cinta (ciptaan sepenuhnya Syamel) duet bersama Ernie Zakri dan Lebih Sempurna (Syamel/Edry Abdul Halim & Boy Anaz).

“Untuk AJL 32, saya nampak persaingan sengit daripada semua finalis. Mereka semua bagus, baik dari segi lagu mahupun vokal.

“Bohong kalau saya katakan saya tidak cuak. Terus-terang, saya ada meletakkan harapan untuk kedua-dua lagu saya menang AJL 32 tahun ini.

“Lagipun trofi tahun ini rare, saya teringin nak bawa balik...Rugi kalau tak merasa sebab tahun-tahun lain dah tak ada,” katanya bersemangat.



Bercakap mengenai persediaannya menjelang pertandingan akhir nanti, Syamel berkata, setakat ini 70 peratus sudah siap.

“Insha-Allah, saya sudah bersedia...Cuma sekarang ini saya berharap agar diberikan kesihatan yang baik sehingga hari pertandingan nanti,” ujarnya.

Sementara itu, dua pengacara popular, Sherry Al-hadad dan Alif Satar bakal menghangatkan malam kemuncak AJL ke-32, bulan depan.

Bertemakan Fesyen dan Muzik, AJL32 bersiaran secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Februari ini.

Selain Syamel yang merupakan artis naungan Rocketfuel, Ara Jahari (Warkah Untukmu ciptaan Hang Nadim/Laq) dan Hazama (Aku Yang Sebenar ciptaan M.Nasir/Ad Samad) turut berjaya ke pentas AJL 32.

Lagu lain ialah yang turut berentap ialah Separuh Mati Ku dinyanyikan Dayang Nurfaizah (ciptaan Ajai sepenuhnya), Sejati (Faizal Tahir/Mike Chan/Azmi Caliph Busker), Menahan Rindu (Ibnu & Gouffran/Wany Hasrita), Tergantung Sepi (Gouffran/Ibnu/Haqiem Rusli), Bayang (Alam Harry Khalifah/Patrick Anahonda/Khai Bahar), Jampi (Hael Husaini/Ezra Kong), Amboi (Navigator/Altimet) dan Akhirnya Cinta (Ajai/Slen/Salma).