Usahawan kosmetik popular, Nur Sajat Kamaruzzaman mengesahkan sudah bertemu pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Nur Sajat ketika dihubungi berkata pertemuannya bersama Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Izwan Yusof berlangsung pada pukul 3 petang tadi (Selasa).

“Beliau ada menghubungi saya untuk berjumpa dan sebagai seorang yang rasional mengapa perlu saya tolak?

“Tidak kisah apa pun isunya, orang jemput cara baik kita terima pun dengan hati terbuka, tiada masalah.

“Apa yang boleh saya katakan, perjumpaan tadi berlangsung dengan lancar dan aman.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa mengambil berat tentang saya sehingga viral,” katanya yang turut membawa ibu dan bapanya dalam pertemuan bersama Jakim itu.

Alhamdulillah. Selesai terima ziarah daripada wakil Jakim. Ada penyelesaiannya. Insyallah...doakan yang terbaik. #alhamdulillah #doakanyangbaikbaik #jakim #2018

A post shared by NUR SAJAT COACHYIN (@nursajat02) on

Dalam pada itu, Nur Sajat meluahkan rasa terkilannya terhadap sesetengah pengguna laman sosial yang suka mengeluarkan kata-kata kesat dan kurang sopan setiap kali memberi komen di laman sosial Facebook (FB) dan Instagram (IG)nya.

“Saya tidak kisah jika menegur saya dengan cara yang baik tetapi ada sesetengah mereka terang-terangan menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya.

“JAKIM sendiri menghubungi saya dan bercakap dengan cara baik tetapi mengapa mereka-mereka ini yang konon-kononnya ustaz dan ustazah media sosial mencaci maki?,” katanya kesal.

Dalam perkembangan lain, Nur Sajat kini sedang sibuk dengan single terbaharunya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Sedikit masa lagi, single terbaharu saya akan dilancarkan. Saya teruja menantikan maklumbalas daripada pendengar,” ujarnya.