Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan usahawan kosmetik, Nur Sajat berikutan khabar angin yang mengatakan dia seorang transgender atau mak nyah.

Hajat itu disuarakan menerusi mesej terbuka di laman Facebook oleh Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Izwan Yusof khusus buat Sajat.

Menurut Izwan yang merupakan pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Jakim, dia bukan mahu menghukum tapi mahu membantu.

“Kami menjemput Sajat untuk hadir ke Jakim supaya kita lebih mengenali antara satu sama lain dan juga berbincang berkenaan situasi dan keadaan Sajat,” katanya.

Menerusi pertemuan itu nanti, Izwan berkata, dia yakin akan merungkaikan persoalan yang terus berlegar di kalangan orang ramai.

“Kami juga ingin nasihatkan Sajat supaya mendekati al-Qur’an dan banyakkan zikrullah. Ini kerana ia akan membantu jiwa kita menjadi tenang,” kata Izwan.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha menerusi Twitternya turut menyatakan persetujuan berhubung hasrat pihak Jakim untuk mengadakan pertemuan bersama Sajat.

Difahamkan, hajat pihak Jakim untuk mengadakan pertemuan dengan Sajat selepas ekoran cemuhan dan kecaman netizen sejak kebelakangan ini berhubung isu identiti usahawan kosmetik berkenaan.

Sumber: mStar Online