Berlakon Filem Pertama, Hafeez Mikail Berdebar Tunggu Reaksi Penonton

11 Januari 2018. 8.01 PM
1,275
Hiburan
Berlakon Filem Pertama, Hafeez Mikail Berdebar Tunggu Reaksi Penonton
Pelakon Hafeez Mikail mengakui berdebar untuk menantikan reaksi penonton dalam filem pertama lakonannya menerusi filem Busker.

Hafeez atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Muhammad Zaki, 25, berkata, dia berharap agar orang ramai dapat memberi sambutan dan menyokong karya artis-artis baharu.

"Siapa yang tidak gentar, tambahan pula Busker merupakan filem pertama menampilkan saya dan Dayan Trisha sebagai pelakon utama.

"Saya berharap agar peminat filem melayu dapat memberikan sokongan terhadap Busker kerana jalan ceritanya amat menarik.
 
"Filem ini amat menguji saya kerana selain berlakon, saya juga perlu menyanyikan lapan buah lagu, termasuk Atma Jiwa.

"Meskipun nama saya kurang dikenali namun saya telah lakukan yang terbaik untuk menghidupkan watak dalam filem ini," katanya kepada Astro Gempak.

Hafeez berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Filem Busker, di e@curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain Hafeez filem Busker turut dibintangi oleh Dayan Trisha, Anas Ridzuan, Bulan dan Mas Khan.

Filem ini juga turut diserikan dengan beberapa penampilan khas seperti  Man Bai, Luqman Hafidz, Elizabeth Tan, Aziz M Osman, Jihan Muse, Mark Adam, Zain (Ruffedge) dan Altimet.

Filem arahan Syed Khairul Fariz ini bakal ditayangkan dipawagam bermula 11 Januari 2018 (hari ini).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Artikel Berkaitan