Penyanyi berasal dari Singapura, Roslan Shah mengambil keputusan membatalkan sidang medianya berhubung kemelut berlaku dengan selebriti versatil, Ifa Raziah.

Roslan menerusi kenyataan medianya memberitahu keputusan tersebut diambil selepas memikirkan beberapa faktor.

“Assalamualaikum semua kawan-kawan. Atas nasihat banyak pihak dan atas semangat sesama Muslim, saya tidak berhasrat memanjangkan lagi isu 'perang mulut' antara saya dan artis Ifa Raziah.

“Saya dengan ini membatalkan pertemuan dengan pihak media yang pada awalnya saya rancang pada Jumaat (12 Januari 2018).

“Atas nasihat banyak pihak juga saya tidak akan membuat sebarang ulasan atau maklum balas berkenaan hal tersebut lagi selepas ini,” katanya.

Tambah Roslan, dia hanya mahu memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai penghibur, mencari rezeki dan menjaga ibu yang sakit di Singapura.

“Seperti sebelum sebelum ini, saya tidak sesekali mencari mencari publisiti murahan dengan bergaduh sesama rakan artis lain.

“Terima kasih kepada semua kawan-kawan media dan peminat yang memberi sokongan moral dan semangat kepada saya sepanjang saya bergelar artis di Malaysia dan juga di Singapura.

“Di sebalik semua cabaran dan dugaan hidup yang saya lalui, saya selalu percaya ada hikmah yang terbaik yang hanya Allah SWT sahaja yang tahu apa disebaliknya,” katanya.

Hubungan Roslan dan Ifa dikatakan berpunca daripada salah faham yang berlaku di sebuah ekspo di Singapura.

Ifa kemudiannya memberi kenyataan kepada media selepas beberapa siri ‘live video’ Roslan di Facebook (FB) yang didakwa ditujukan kepadanya.

Foto: instagram @realroslanshah / @ifa_raziah