Pelakon dan penyanyi Janna Nick memohon maaf kepada pihak yang tersinggung apabila tindakannya bersama aktres, Sharifah Sakinah didakwa mempersendakan kematian penyanyi Korea, Jonghyun.

Menerusi video yang dimuat naik di Instagram (IG), 'IG Story' milik Sakinah itu menunjukkan mereka sedang bergurau di sebuah salon sambil menyebut nama artis Korea itu.

Tindakan Janna dan Sakinah imengundang pelbagai reaksi peminat penyanyi itu seperti yang disiarkan sebuah portal hiburan Koreaboo, hari ini.

Menurut Janna, dia tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak malah tidak mengetahui mengenai kematian penyanyi itu.

"Saya malas nak panjangkan isu ini. Lagi pula saya tak sentuh langsung mengenai penyanyi berkenaan. Malah, sebelum ini saya juga sudah meminta maaf di Twitter.

"Namun, jika ada yang berasakan tindakan saya salah, sekali lagi saya nak minta maaf. Sejujurnya saya tak berniat nak mempersendakan sesiapa malah jauh sekali nak mengaitkan dengan sesiapa.

"Lagi pula, ketika video dimuat naik, saya tak tahu pun mengenai berita dia meninggal dunia sehinggalah peminat mulai 'serang' saya di Twitter," katanya.

Berhubung isu tersebut, Sakinah turut memohon maaf.

Jonghyun yang juga anggota SHINee dilaporkan meninggal dunia pada 18 Disember lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya.

Sumber: Harian Metro