Ketua Pegawai Eksekutif Mood Republik (MR), Datuk Kimi Iskandar Ismail memberitahu tradisi ‘hujan duit’ akan tetap diteruskan selagi festival tersebut dianjurkan.

Kimi Iskandar ketika ditemui Astro Gempak berkata, biarpun sebelum ini banyak kritikan dilemparkan kerana menjalankan ‘hujan duit’ namun itulah yang membezakan MR dengan festival lain.

“Apa sahaja kelainan yang cuba ditampilkan, pasti ada yang suka dan tidak suka. Namun bagi kami tradisi tersebut juga merupakan salah satu daripada strategi pemasaran.

“Bagaimanapun kami di MR sentiasa positif dengan apa jua pandangan dan komen orang ramai terhadap MR untuk penambahbaikan. Kami hanya mahu yang terbaik buat para pengunjung kami,” katanya.

Kimi Iskandar berkata demikian selepas majlis perasmian KL YES FEST 2017 yang berlangsung pada 22 hingga 24 Disember lalu.


Kimi Iskandar ketika mengumumkan pemenang Mini Cooper di KL YES Fest 2017

Tambah Kimi Iskandar, beliau berterima kasih kepada semua ‘vendor’dan pengunjung yang sentiasa memberi sokongan kepada MR.

“Tahun ini seramai 97 selebriti dan 397 usahawan popular menyertai MR dan Alhamdulillah, Datuk Rossa serta Randy Pangalila juga masih sudi bersama kami.

“Sambutan diberikan oleh mereka menjadi pemangkin semangat buat MR untuk meneruskan lagi festival ini pada tahun-tahun seterusnya,” katanya yang sudah siap merangka jadual MR sepanjang 2018.


Kalendar Mood Republik 2018

KL YES Fest 2017 yang berlangsung akhir tahun lalu berlangsung meriah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Tradisi ‘hujan duit’ yang menjadi pembukaan turut menyaksikan lobi PWTC dihujani wang tunai sebanyak RM50,000.

Pengunjung turut berpeluang memenangi sebuah Mini Cooper dan 30 penjungjung bertuah berpeluang menerima wang tunai berjumlah RM1,000.

Antara selebriti yang terlibat dalam festival tersebut ialah Ziana Zain, Siti Sarah, Emma Maembong, Nur Sajat, Datuk Aliff Syukri, Datuk Seri Vida, Mawar & Raf Yaakob, Hanis Zalikha & Hairul Azreen, Mira Filzah, Ifa Raziah, Dazrin Kamarudin dan ramai lagi.

Jenama popular yang turut dihimpunkan pada acara itu termasuk Aidijuma, Jubah Souq, Sugarscarf, Shawl Publika, D'Nars, Alfio Raldo, Naelofar Hijab, Furby and Sugar, Nur Sajat, Rayyan Haya, Fareeda, Zawara, Bokitta Hijab, Minaz, Radiusite dan banyak lagi.