Pelakon dan penyampai radio, Anas Ridzuan mengakui penglibatannya dalam industri hiburan bukan semata-mata untuk mengejar populariti.

Menurut Anas, 28, dia lebih selesa menganggap ia sebagai kerjaya tetap dan bukannya mahu popular atau menjadi seorang artis.

“Daripada mengejar populariti, lebih baik saya suka menjadikan bidang lakonan sebagai kerja tetap.

"Disebabkan itu segala tawaran lakonan yang saya dapat akan dilakukan dengan serius kerana saya mahu ketengahkan bakat yang ada.

"Jika orang dah memberi tawaran kepada saya itu bermakna mereka percaya dengan kebolehan yang ada pada diri saya jadi saya tidak boleh lakukan dengan sambil lewa.

“Lagipun, saya kena menanggung keluarga dan perlulah terus berusaha keras dalam bidang ini.

"Alhamdulillah tawaran lakonan tidak putus dan saya sentiasa mendapat kepercayaan penerbit," katanya kepada Astro Gempak.

Anas berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pelancaran Filem Busker, di Bentley Music, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain Anas, filem Busker turut dibintangi oleh Hafeez Mikail, Daiyan Trisha, Bulan dan Mas Khan.

Filem arahan Syed Khairul Fariz ini bakal ditayangkan dipawagam bermula 11 Januari 2018.

Teks: Rozaimi Zubaidi