Penyanyi Khai Bahar akui berasa teruja sehingga tidak perasan memegang mikrofon secara terbalik ketika membuat persembahan secara langsung di program MeleTOP semalam.

Khai menjelaskan kejadian tersebut menerusi satu video pendek di Insta Story miliknya sebaik sahaja selesai program berkenaan.

“Assalamualaiku semua. Alhamdulillah dah selesai MeleTOP, Khai nak minta maaf sebab tadi mic terbalik.

“Minta maaf sangat-sangat sebab terlalu ‘excited’ dengan penyokong yang berada di bahagian hadapan.

"Jadi bila dok melambai-lambai tiba-tiba tangan terpegang mickrofon belah lain. ‘Sorry’,” katanya.

Dalam pada itu, Khai juga turut mengucapkan terima kasih kepada hos MeleTOP, Nabil Ahmad yang menyelamatkan keadaan dengan memeluknya yang sedang ketawa menahan malu.

“Terima kasih abang @nabilzira kerana telah menyelamatkan saya semalam,” tulisnya.

Khai yang menyampaikan lagu Luluh di program tersebut merupakan tetamu undangan bersama penyanyi Haqiem Rusly dan Wany Hasrita.

Foto: Instagram @khaibahar94

Teks oleh: Mya Amri