Pelakon Kamal Adli akui kecewa disingkirkan daripada Super Spontan Superstar (SS Superstar) selepas Fad Bocey menyerahkan kalung imunitinya kepada Achey.

Kamal, 30, berkata, dia telah melakukan yang terbaik pada minggu ini namun rezeki tidak menyebelahi dirinya untuk melangkah ke peringkat akhir SS Superstar.

"Saya berpuas hati kerana telah berjaya sampai ke tahap ini dan tetapi sedikit sedih kerana nama saya sudah layak untuk ke final namun nasib tidak menyebelahi saya, kali ini.

"Sebenarnya saya tidaklah kecewa apabila tidak diumumkan untuk pergi ke final tetapi apa yang saya boleh buat kerana imuniti itu berpihak kepada Achey," katanya kepada Astro Gempak.

Walaupun tersingkir, Kamal dilihat menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan telah mengucapkan terima kasih kepada produksi SS Superstar menerusi sebuah entri yang dimuatnaik di akaun Instagram (IG)nya selepas program tersebut tamat.

"Terima Kasih team, sikit lagi nak masuk final tetapi tidak ada rezeki.

"It's ok, team buat yang terbaik ok. Terima kasih semua yang menyokong taw dan sayang korang semua," katanya menerusi aplikasi Instagram.

Dalam pada itu, peminat Kamal dilihat meluahkan rasa kecewa apabila pelakon tersebut disingkirkan kerana dia dilihat berpontensi ke peringkat akhir.

Rata-ratanya mahu Kamal diberikan peluang untuk beraksi di peringkat akhir SS Superstar berdasarkan peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh Kamal setiap minggu.

Kamal Adli dan Altimet dari kumpulan Monyet Mafia telah disingkirkan di pentas separuh akhir SS Superstar yang berlangsung pada malam Jumaat.

Minggu separuh akhir SS Superstar menampilkan pelakon terkenal Erra Fazira sebagai komentator jemputan bersama Afdlin Shauki.

Sementara itu enam peserta SS Superstar, Ozlynn, Fad, Abam, Tauke, Johan dan Achey bakal berentap secara individu pada peringkat akhir pada minggu hadapan secara individu.

SS Superstar dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan Amir Raja Lawak pula bertindak sebagai ‘pengacau’ atau ‘batu api’.

Program lawak paling ‘stailo’ ini juga bersiaran secara langsung dari Dewan Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada setiap Jumaat bermula jam 10 malam dan ditayangkan serentak menerusi Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134).

Jangan lepaskan peluang untuk tonton #SuperSpontanSuperstar Akhir 2016. Jom dapatkan tiket anda sekarang berharga RM 45.00 di www.ticketpro.com.my