Pelajar Akademi Fantasia 2016 (AF 2016), Zarol menafikan dia menjalin hubungan skandal dengan bekas isteri kepada pelawak Along Cham, Zila Seeron.

Zarol atau nama sebenarnya, Mohamad Afzarul Dzarif Mohd Mazle, 24, turut menafikan yang dirinya menjadi antara punca kehancuran rumah tangga Along dan Zila.

"Saya sudah mendengarkan perkara ini sebelum saya menyertai AF 2016 lagi. Sejujurnya, saya sangat terkejut dengan tuduhan tersebut.

"Sebelum saya menerima tawaran AF 2016, sudah ada orang yang meninggalkan komen di laman Instagram saya dan menuduh saya menjadi punca masalah rumah tangga Zila.

"Saya sering berduet dengan Zila dalam aplikasi Smule dan kami mempunyai peminat tersendiri. Ramai yang memberikan cadangan agar kami selalu berduet di sana.

"Saya hanya berhubung dengan Zila menerusi aplikasi WeChat, Zila yang 'add' saya dan perkara yang kami bincangkan adalah berkenaan dengan nyanyian duet kami di Smule sahaja. Kami tidak pernah berbicara soal peribadi," kata Zarol kepada Astro Gempak.

Tegas Zarol, dia juga tidak pernah berjumpa dengan penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 4 itu.

"Orang yang dimaksudkan (mempunyai skandal dengan Zila) bukan saya. Saya berani bersumpah yang saya tidak pernah mempunyai hubungan peribadi dengan Zila. Mungkin nama saya dengan nama orang yang dikaitkan dengan Zila itu hampir sama bunyinya.

"Saya juga tidak pernah bersua muka dengan Zila. Sebelum kami mula berduet, saya bertanyakan kepada Zila terlebih dahulu, adakah dia sudah mendapatkan keizinan Along untuk berduet bersama saya di aplikasi Smule dan Zila mengatakan yang Along sudah tahu," kata Zarol usai konsert separuh akhir AF 2016 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam malam tadi.

Gagal menempatkan diri sebagai finalis konsert akhir AF 2016, Zarol mengakui dirinya kecewa dengan perkara tersebut.

"Saya sangat kecewa kerana gagal menempatkan diri sebagai finalis. Saya mahu menyampaikan lagu baru saya tetapi sudah bukan rezeki. Saya sudah merakamkan lagu baru berjudul Kehilangan, ciptaan DJ Fuzz.

"Saya sudah cuba buat yang terbaik tetapi saya tersingkir di konsert separuh akhir. Mungkin peminat saya kecewa tetapi saya berharap agar mereka akan terus menyokong saya. Semoga perjalanan seni saya sebagai seorang penyanyi selepas ini dipermudahkan," katanya lagi.

Saksikan Konsert AF 2016 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara ekslusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap hari Ahad, jam 9 malam.

Manakala rutin harian para pelajar menjalani kehidupan di akademi pula boleh ditonton menerusi Diari AF 2016 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 15 Ogos di saluran sama.

Untuk mengikuti perkembangan pelajar, layari Akademi Fantasia.