Bintang realiti televisyen Amerika Syarikat (AS), Kim Kardashian dilaporkan kehilangan sekotak barangan kemas bernilai 6 juta euro (RM28 juta) dan sebentuk cincin berharga 4 juta euro (RM18.49 juta) miliknya.

Bintang realiti berusia 35 tahun itu terpaksa melalui detik cemas apabila lima lelaki bersenjata dengan memakai pakaian polis serta topeng muka mengacu pistol di kepala dan mengikat tangannya ketika kejadian pada pukul 3 pagi itu.

Kim dilaporkan menjadi tahanan sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata di bilik hotelnya.

Kim turut kehilangan dua buah telefon pintar miliknya yang berkemungkinan besar mengandungi banyak perkara peribadinya.

Isteri kepada Kanye West itu tiba di Perancis sempena Minggu Fesyen Paris turut dilaporkan berada menggigil ketakutan namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika kejadian, West berada di New York menghadiri acara Meadow Music and Art Festival dan terus membatalkan persembahannya sebaik sahaja menerima berita tersebut.

Selain itu, kedua-dua anakn Kim, North,3 dan Saint yang berusia 10 bulan dipercayai tidak berada di bilik bersama Kim ketika kejadian.

Menurut jurucakap selebriti itu, Ina Treciokas, Kardashian berada di Perancis untuk menyertai pertunjukan fesyen di Paris bersama ibunya, Kris Jenner dan dua beradiknya, Kourtney Kardashian dan Kendall Jenner.

"Dua lelaki bertopeng yang menyamar sebagai anggota polis itu turut mengacukan pistol ke arah Kardashian.

"Kardashian ternyata ketakutan akibat kejadian itu tetapi tidak dicederakan," katanya.

Polis Paris mengesahkan kejadian itu sebagai rompakan dan siasatan lanjut masih dijalankan.