Pelakon Kilafairy mendedahkan ibunya, penyanyi Rohana Jalil tidak pernah bertanyakan mengenai soal jodoh kepadanya.

Gadis berusia 25 tahun ini juga mengakui dia tidak menolak jika jodohnya datang cepat.

"Ibu saya tidak pernah menyoal saya mengenai jodoh atau teman lelaki. Dia pernah katakan, kalau boleh dia mahu saya bekerja dahulu dan berkahwin pada usia 30 tahun.

"Lain pula dengan ayah saya, dia ada bertanya mengenai soal peribadi, adakah hati saya sudah dimiliki dan sebagainya. Sejujurnya, kini saya masih solo dan selesa berkawan dengan semua orang.

"Saya tidak pernah menolak jodoh. Kalau ditakdirkan saya kahwin awal kerana jodoh datang cepat, saya akan umumkan berita bahagia itu kelak.

"Jika sudah sampai masanya, saya pasti akan berkahwin. Cuma jodoh itu datang cepat atau lambat, saya sendiri belum pasti," kata Kila kepada Astro Gempak.

Buat masa ini, Kila mahu menumpukan perhatian terhadap kerjayanya sebagai pelakon dan penyanyi.

"Ketika masih solo ini saya mengambil peluang untuk bekerja dan mencari rezeki dengan gigih. Kini, saya mahu memberikan fokus kepada single saya yang berjudul Put The Word In, kolaborasi bersama Sean Kingston.

"Single tersebut bakal muncul pada 12 Januari nanti. Insya-Allah pada awal Februari tahun hadapan, saya akan kembali di set penggambaran. Saya berharap single terbaru saya akan mendapat tempat di hati peminat," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Kila