Vokalis kumpulan Wings Awie mengakui bakal berkahwin pada hujung minggu ini, tetapi merahsiakan lokasi perkahwinannya itu.

Awie berkata, pendekatan tersebut diambil kerana sering terkena gangguan misteri.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, turut memberitahu, dia bakal berkahwin dalam masa terdekat ini di lokasi yang telah dirancangkan.

"Saya akan berkahwin dalam masa terdekat ini bersama tunang saya di satu lokasi yang tidak boleh diwar-warkan kepada umum.

"Bukan saya mahu merahsiakan lokasi tersebut namun biarlah majlis tersebut dapat berjalan dengan lancar kerana bila mengadakan konsert ataupun sesuatu majlis saya acapkali akan diganggu oleh gangguan misteri.

"Jadi biarlah saya mengambil pendekatan untuk merahsiakan segalanya buat masa sekarang supaya majlis itu dapat berjalan dengan lancar seperti yang dirancang," katanya kepada Astro Gempak.

Awie berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Wings 30 tahun 'Live' @ Kota Kinabalu, Sabah di House Restaurant, G Tower, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Awie telah melangsungkan ikatan pertunangan pada 3 Jun lalu dengan seorang wanita bernama Sharifah Ladyana.

Pertunangan itu menjadi viral di laman sosial selepas sekeping foto yang menyaksikan dua orang anak Awie, Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha bersama Lady tersebar.

Katanya, anak-anaknya memerlukan kasih sayang seorang ibu untuk membesar dengan baik dan kehidupan perlu diteruskan biarpun bapa kepada lima orang anak itu pernah dilanda pelbagai kontroversi melibatkan hal rumah tangga sebelum ini.

"Anak-anak pun memerlukan kasih sayang seorang ibu di sisi mereka, jadi saya kena cari orang lain.

"Mereka juga perlukan belaian seorang ibu dan dia juga dilihat boleh melayan karenah anak-anak saya," jelasnya.

Bercerita mengenai konsert kumpulan Wings bakal mengadakan Konsert Wings 30 tahun ' Live' @ Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember depan di Stadium Likas, kota Kinabalu, Sabah.

Tiket-tiket berharga RM50.00 hingga RM1000.00 boleh didapati menerusi laman web www.tiketwings30thnkksabah.com atau hubungi 0193681917.