Pelakon filem Kau Yang Satu, Izara Aishah bertindak untuk menutup ruangan komen di laman Instagram miliknya untuk mengelak fitnah.

Wanita berusia 25 tahun ini telah mula menutup ruangan tersebut semenjak beberapa bulan yang lalu.

“Saya kurang gemar dengan komen netizen yang tidak betul. Komen-komen seperti itu boleh menjadi fitnah dan mengundang perbalahan.

“Sebelum mereka melakukan fitnah, saya rasa lebih baik saya bertindak dahulu dengan menutup ruangan komen. Setelah beberapa bulan menutup ruangan tersebut, saya rasa lega dan tenang.

“Namun begitu, jika saya memuat naik entri baru di laman Instagram yang berkaitan dengan promosi produk lakonan serta bisnes saya, ruangan komen akan dibuka,” kata Izara.

Tambah pelakon siri Oh My English ini, dia juga tidak membaca sebarang ‘direct message’ (DM) yang dihantar netizen menerusi laman Instagram miliknya.

“Disebabkan saya menutup ruangan komen, netizen menghantarkan saya DM pula. Saya akui saya menerima banyak DM tapi saya tidak membacanya.

“Saya mengambil langkah untuk membiarkannya sahaja. Jika ada sebarang urusan berkaitan dengan kerjaya, mereka boleh menghubungi saya menerusi e-mel,” katanya ketika ditemui di sidang media program CTDK-ation.

Program tersebut memaparkan jurnal percutian keluarga besar Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Rancangan yang memaparkan kisah suka duka percutian keluarga besar itu ke Sepanyol, Portugal dan Dubai itu akan disiarkan di saluran Astro Ria pukul 9 malam bermula 24 Disember ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Izara