Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang kini sedang hamil enam bulan mendedahkan kerenahnya ketika usia awal kehamilan.

Kata Siti, dia berdepan proses alahan yang berkaitan dengan makanan harian sehingga terpaksa menjamah sup sahaja hampir setiap hari.

"Selera makan saya tidak sama seperti dahulu, saya tidak boleh makan makanan pedas dan tomyam yang rasa masam-masam pun saya tak mahu.

"Ibaratnya, hari-harilah saya makan sup. Tapi kalau hari-hari makan sama pun tak boleh telan juga.

"Alhamdulillah selepas trimester pertama saya semakin baik dan sudah boleh bau makanan bergoreng.

"Kalau dahulu saya tidak boleh menghidu wangian yang terlalu kuat, sekarang semakin okey," katanya yang turut berdepan masalah kulit kering dan kasar.

Siti yang bakal merakamkan lagu untuk dihadiahkan kepada anak sulungnya itu juga mendedahkan dia teringin untuk merasai buah limau Palestin.

"Saya sebenarnya teringin nak makan buah limau Palestin yang pernah saya rasa ketika berkunjung ke sana sebelum ini. Manis sangat," tambah Siti.

Dalam perkembangan terkini, rancangan jurnal percutian keluarga Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, CTDK-ation bakal mula bersiaran pada 24 Disember ini.

Rancangan yang memaparkan kisah suka duka percutian keluarga besar itu ke Sepanyol, Portugal dan Dubai itu akan disiarkan di saluran Astro Ria pukul 9 malam.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @ctdk