Filem Pitch Perfect 3 merupakan filem muzikal komedi terakhir siri Pitch Perfect. Bakal menemui penonton pada 28 Disember ini, filem ini diarahkan oleh sutradara Trish Sie.

Merupakan sekuel untuk Pitch Perfect (2012) dan Pitch Perfect 2 (2015), kami berkesempatan menonton filem ini seminggu lebih awal di acara Gempak Movie Night Out yang berlangsung di GSC 1 Utama malam tadi.

Best! Itu merupakan perkataan pertama yang keluar selepas kami selesai menonton filem ini. Kami senaraikan lima sebab kenapa anda harus menonton Pitch Perfect 3:

1. Perkembangan terbaru Bellas.
Mesti anda semua ingin tahu apakah perkembangan terkini ahli Bellas? Mereka kini sedang sibuk dengan kerjaya masing-masing tetapi ada satu sebab kukuh yang membuatkan mereka kembali berkumpul. Nak tahu? Kenalah tengok!

2. Lagu-lagu semua best!
Lagu-lagu yang mereka nyanyikan dalam filem ini semuanya sedap-sedap belaka! Lagu seperti Toxic, Cheap Thrills, Cake by The Ocean dan banyak lagi lagu best! Penonton pastinya akan sama-sama menyanyi dalam panggung nanti.

3. Ikatan persahabatan.
Ikatan persahabatan antara Bellas membuatkan filem ini tidak hanya menyajikan hiburan semata-mata. Dalam pada penonton ketawa terbahak-bahak menonton aksi lucu mereka, secara tidak sedar, elemen persahabatan diterapkan oleh mereka sebagai mesej penting dalam filem ini.

4. Unsur kekeluargaan.
Selain elemen persahabatan, Pitch Perfect 3 menampilkan elemen kekeluargaan. Ada babak yang bakal membuatkan penonton sedih dan teringatkan bapa masing-masing!

5. Filem terakhir siri Pitch Perfect.
Peminat siri Pitch Perfect tidak harus melepaskan peluang anda untuk menonton filem ini kerana Pitch Perfect 3 merupakan filem terakhir yang menutup siri ini. Pastinya filem ini akan membangkitkan memori penggemar Pitch Perfect yang setia menonton semenjak tahun 2012.

Jangan lupa saksikan filem Pitch Perfect 3 lakonan Anna Kendrick, Anna Camp, Rebel Wilson, Brittany Snow, Hailee Steinfeld, Hana Mae Lee, Ester Dean, Chrissie Fit, Alexis Knapp, Elizabeth Banks, dan John Michael Higgins di pawagam bermula 28 Disember nanti!

Teks oleh: Kamaruddin Razal