Vokalis kumpulan Umbrella, Zarul akui mengambil cuti tanpa gaji untuk penglibatannya dalam program GegarVaganza 3 (GV3).

“Saya masih lagi bekerja dengan Malaysia Airlines (MAS) cuma saya ambil cuti tanpa gaji untuk sertai GV3.

“Pada mulanya pihak pengurusan agak berat untuk melepaskan saya tapi selepas mempertimbangkan beberapa sebab dan juga permohonan itu, akhirnya mereka meluluskan cuti tersebut.

“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan MAS kerana memahami situasi saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan peserta GegarVaganza 3 bertempat di LOL Live House, TREC, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai GV3, Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin memberitahu kesemua peserta adalah hebat-hebat belaka.

“Tak dinafikan semua peserta GV3 ini hebat-hebat dan persaingan yang bakal berlaku di pentas nanti adalah persaingan sihat.

“Saya ambil pendekatan jadi seperti mereka maksudnya bila mereka memberikan persembahan terbaik maka kita pun kena buat begitu.

“Kita juga tahu bila masuk sesebuah program realiti kita perlu jadi variasi, tak boleh tetap dengan genre lagu yang kita suka.

“Semua genre ada dia punya ‘value’ yang tersendiri, tipulah kalau saya kata tak risau jika kena menyanyi lagu yang saya tak biasa.

“Tapi apa yang penting saya berusaha dan lakukan yang terbaik sebagaimana peserta lain,” jelasnya.

Saksikan Konsert GegarVaganza 3 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)bermula 16 Oktober ini secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) setiap Ahad, jam 9.00 malam.