Pasukan Red Lycans gementar menanti pusingan akhir Asian Battleground 2016 yang bakal berlangsung 8 Oktober (Sabtu) ini.

Juara keseluruhan All Star, KidInn ketika ditemui Astro Gempak berkata, sungguhpun mereka kehilangan ketua kumpulan Jayden Koi Kian Boon dalam satu tragedi baru-baru ini, semangat untuk bergelar juara dan mengharumkan nama negara tetap ada.

"Semangat Jayden tetap ada dalam Red Lycans, dia tetap ketua kami. Kami akan 'bawa' dia bersama-sama kami dan berjuang demi negara.

"Impian mendiang mahu membawa 'street dance' ini ke mata dunia dan dipandang sebagai kerjaya yang diiktiraf," katanya.

Red Lycans yang mewakili Malaysia di Asian Battleground 2016 bakal menentang penari-penari hebat lain dari Korea, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Beijing dan Thailand.


Saksikan pertandingan akhir Asian Battleground yang akan ditayangkan Sabtu ini, pada jam 8.30 malam di saluran Astro Wah Lai Toi (saluran 311 dan saluran 310 HD).