Konsert akhir Gegar Vaganza 4 (GV4) berlangsung dengan meriah pada malam tadi.

Bersiaran secara langsung di Pinewood, Iskandar Johor Bahru, GV4 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Aishah yang membawakan lagu asal nyanyian Celine Dion, All By Myself muncul sebagai juara yang mendapat kutipan markah tertinggi dari empat juri, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap serta Datuk Khatijah Ibrahim dan Datuk Rosyam Nor selaku juri undangan.

Astro Gempak menyenaraikan 10 perkara menarik yang terjadi di konsert akhir GV4:

1. Letupan bunga api yang berlaku selepas persembahan pembukaan tamat membuatkan semua orang di studio terkejut.

2. Kerana terkejut dengan bunyi letupan itu, Jihan sempat melatah dan memegang perutnya yang sarat hamil. Mujur ada penari latar wanita yang membantu dan merangkul belakang badan Jihan.

3. Ketika iklan sedang berlangsung, anak-anak Datuk Seri Vida (DSV), Cik B dan Kacak sempat menari bersama DSV. Semasa mereka menari, penonton sempat bersorak memanggil nama Cik B dan Kacak.

4. DSV sempat berpesan kepada Cik B dan Kacak yang melihat ibu mereka bersedia untuk melakukan persembahan di atas pentas.

“Nanti Cik B akan ganti tempat Mama. Mana bawa Cik B dan Kacak ke sini untuk menunjukkan bagaimana Mama bekerja. Ini merupakan dunia glamor. Cik B dan Kacak jangan malu untuk tengok apa yang Mama buat,” kata DSV.

5. Sewaktu Hazami menyampaikan lagu Bahagiamu Deritaku, kelopak bunga mawar putih jatuh berguguran sekitar pentas sebagai gimik persembahan.

6. Hetty Koes Endang sangat sebak dan kelihatan beremosi ketika Aishah menyampaikan lagu All By Myself. Ketika Hetty memberikan komen, dia sempat bertanyakan kepada Aishah, adakah dia masih bersendiri lagi? Selepas Aishah menjawab kini dia tidak lagi bersendiri, penonton di studio memberikan respon terharu. Awwww.

7. Jihan dan Nabil masih nakal dan gemar mengusik Datuk Ramli MS bersama isterinya, Datin Alyah. Antara dialog usikan mereka ialah:

“Lama kita tak berborak ya Datin,” kata Jihan.

“Apa lama tak berborak pula, tak pernah borak langsunglah! Kan ini kali pertama Datin datang temankan Datuk,” kata Nabil.

8. Kehadiran peminat setia GV4, Ziana Zain 2 yang lebih dikenali sebagai Baby Ziana membuatkan ramai penonton teruja sehingga ramai yang mahu bergambar bersama Baby Ziana selepas konsert akhir tamat.

9. Penyanyi kelahiran Singapura, Hetty Sarlene turut hadir ke konsert akhir GV4. Kehadiran pelakon yang terkenal dengan drama bersiri Sembilu Kasih satu ketika dahulu itu mengubat kerinduan peminat.

10. Biarpun sarat hamil, isteri Lan Solo, Sheila kelihatan begitu bersemangat dan sibuk menemani suaminya sepanjang konsert GV4. Selepas konsert tamat, Lan mencari Sheila dan memeluk erat wanita itu di sekitar tempat sidang media berlangsung.

Konsert mingguan GV4 bersiaran di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu pertama GV4 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV4 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gegarvaganza.com.my

Teks oleh: Kamaruddin Razal