Penyanyi genit Siti Sarah Raisuddin mengakui berdepan dengan perasaan fobia dengan pertambahan berat badannya.

Kata Sarah, dia akui pernah berdepan dengan pengalaman memiliki berat badan 70 kilogram dan menjadikan dirinya cepat penat ketika hamil anak pertama kira-kira lima tahun lalu.

"Saya memang fobia jadi gemuk semula. Biasanya berat badan saya tidak melebihi daripada 50 kilogram. Kalau naik pun cuma dua kilogram sahaja.

"Tetapi ketika saya mengandungkan anak sulung saya, berat badan saya naik mendadak sehingga 70 kilogram.

"Saya tak tahu pun saya gemuk tetapi ketika itu saya jadi pemalas, sampaikan nak ambil remote control depan mata pun tak nak bangun.

"Selepas bersalin anak sulung, saya dapati hamil sekali lagi selang enam bulan. Ketika itu saya jadi sangat risau jikalau berat badan saya sukar untuk turun semula," kata Sarah.

Sarah akui, bertubuh kecil memberikan keyakinan padanya untuk kelihatan menawan dan beraksi dengan baik ketika membuat persembahan nyanyian.

Penyanyi lagu Kesetiaan itu baru-baru ini dikejarkan ke hospital tekanan darah rendah dan kurang rehat.

Bagaimanapun, Sarah menegaskan punca dia dimasukkan ke hospital bukan kerana diet melampau.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @sitisarahraisuddin