Pelakon dan pengacara, Diana Amir mengakui belum ada watak yang sesuai untuk dia kembali aktif dalam bidang lakonan.

Menurut Diana, dia kini lebih selesa untuk fokus dalam bidang pengacaraan kerana menganggap kerjaya itu lebih sesuai dengan statusnya sekarang.

"Buat masa sekarang saya memang masih aktif dalam bidang seni namun fokus utama dalam bidang pengacaraan.

"Bergelar pengacara ini masanya juga lebih fleksibel dan saya juga turut mendapat ilmu menerusi segmen yang dilakukan dalam Bismillah Ad Duha yang bersiaran di Astro Oasis.

"Tipu kalau saya katakan tidak rindu pada lakonan namun mungkin buat masa sekarang masih belum ada watak yang benar-benar sesuai dengan saya.

"Mungkin suatu hari nanti ada watak yang sesuai saya akan berlakon semula kerana kita tidak tahu peluang itu akan hadir bila," katanya kepada Astro Gempak.

Diana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Ikon Muslim Volunteers Malaysia 2018 (MVM), di De Palma Hotel, Shah Alam, baru-baru ini.

Pada sidang media tersebut, seramai lapan orang selebriti di umumkan sebagai Ikon Muslim Volunteers Malaysia 2018 (MVM).

Antaranya Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, Puan Dila Mubarak, Lah Ahmad, Datin Alyah, Diana Amir, Mila Jirin, Azmi Saat dan Syamel.

MVM merupakan organisasi yang membantu dan menghubungkan NGO-NGO lain dengan kerajaan, menghantar sukarelawan-sukarelawan yang ada ke NGO-NGO yang memerlukan serta membantu golongan keluarga fakir miskin, anak-anak yatim.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi