Bekas anggota kumpulan Sleeq, Alif memberitahu penghasilan lirik lagu terbarunya, ‘Buat Selamanya’ terhasil secara spontan.

Menurut Alif, 28, isu keganasan dalam hubungan cinta yang diketengahkan dalam lirik lagu tersebut tiada kaitan dengan kisah peribadinya.

“Saya mahu hasilkan sesuatu yang berbeza berbanding tema cinta yang sedia ada.

“Keganasan dalam hubungan cinta tidak semestinya berbentuk fizikal dana pa yang saya ketengahkan lebih membawa maksud kepada kasih sayang dan cara bagaimana untuk menghargai pasangan masing-masing.

“Jangan salah faham, lirik ini tidak ada kaitan dengan kisah peribadi saya. Saya hasilkan lagu ini secara spontan selain mahu memberi sedikit kelainan dalam lirik lagu saya,” katanya.

Alif berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya, ‘Buat Selamanya’ bertempat di SukaSucre Bistro baru-baru ini.

Mengulas mengenai kerjayanya, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Abdullah mahu memberikan fokus kepada tugasnya sebagai composer.

“Saya pada mulanya memang rasa agak kekok bergerak secara solo sebagai penyanyi, namun perkara itu bukanlah satu alasan untuk tidak meneruskan kerjaya saya.

“Saya akui memang mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan single baru selepas berpecah dengan Sleeq.

“Secara jujurnya saya lebih selesa untuk bekerja di belakang tabir dan memberikan fokus kepada kerjaya saya sebagai seorang komposer.

“Sebelum ini saya juga banyak menghasilkan lagu-lagu untuk artis lain seperti Liyana Jasmay, Joe Flizzow, Zizan Razak dan Kaka Azraff.

“Namun untuk single terbaru ini, rasanya sudah sampai masanya kembali fokus kepada tugas saya untuk hasilkan muzik sendiri pula,” jelasnya.



Teks oleh: Mya Amri