Pelakon Fatin Afeefa menafikan dakwaan dia aktres janda yang memuat naik foto sedang bercium dengan seorang lelaki di Instagram.

Fatin atau nama sebenar Fatin Nur Afifah Shamsudin berkata, dia juga tidak mengetahui tentang kewujudan foto wanita sedang bercium mirip wajahnya yang tersebar di laman sosial.

"Saya tak tahu tentang foto tersebut dan itu bukan saya. Gila ke saya nak buat benda begitu kemudian post di Instagram.

"Sejujurnya, dua minggu lalu saya ada dengar fasal isu ini tapi saya tak tengok lagi gambar itu dan tak tahu siapa wanita mirip wajah saya.

"Seingat saya, hujung bulan lalu, Instagram saya tidak boleh diakses dan hanya boleh digunakan semula pada pagi hari keesokannya. Tetapi, tak ada pula foto cium tersebut, pelik!," katanya.

Semalam, ruangan gosip sebuah akhbar tempatan memaparkan penyebaran foto seorang wanita dipercayai pelakon berstatus janda bercium dengan kekasih.

Menurut tulisan dalam artikel itu, foto tersebut dipadam beberapa saat selepas dimuat naik, namun beberapa laman blog hiburan sempat menyimpan paparan skrin sebagai bukti.

Rata-rata pengguna laman sembang membuat andaian bahawa wanita tersebut adalah Fatin merujuk kepada kriteria yang ditulis dalam artikel.

Sementara itu, Fatin tidak menolak ada individu yang cuba menfitnah dirinya berdasarkan kenyataan yang diberi dalam artikel tersebut.

"Saya tahu ini kerja siapa. Tapi tak apa, saya bersabar dahulu. Kalau dia melampau batas, saya tak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah," tegasnya.

Dalam pada itu, pelakon drama Red Velvet ini menafikan dia turut terbabit dengan pengambilan dadah dan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.

Ujarnya, dia masih waras dan tidak mungkin mensia-siakan kehidupan serta karier yang sedang meningkat naik.

Fatin telah berkahwin dengan pelakon Adam Shahz pada 21 Disember 2013 dan bercerai dengan talak satu pada 30 Mei lalu.

Dia dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adam Aisy Arrian, 4, dan Ivy Herra Sophia berusia dua tahun.

Sumber: mStar Online
Foto: Carian Google/Instagram Fatin Afeefa