Pelakon dan pengacara terkenal Neelofa telah dilantik oleh AirAsia Bhd sebagai ‘Non-Executive Independent Director’.

Pelantikan itu juga diluluskan sebulat suara oleh Ahli Lembaga Pengarah.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, ciri-ciri yang ada pada Neelofa menepati pilihan mereka.

“Pihak kami amat gembira dan mengalu-alukan pelantikannya. Pengalaman Neelofa sebagai seorang usahawan, pencipta jenama amat bernilai kepada AirAsia.

“Dia juga boleh memberikan pendapat dan pandangan baru yang lebih segar untuk perniagaan kami yang kini menuju kea rah syarikat penerbangan digital,” katanya.

Tambah Tony lagi, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor merupakan seorang wanita yang sangat bijak.

"Neelofa menepati ciri-ciri yang kami perlukan untuk terus maju menjadi satu daripada syarikat yang menunjukkan prestasi terbaik.

"Selain itu itu, reputasinya sebagai antara usahawanita terkemuka negara dan tersenarai antara beberapa rakyat Malaysia dalam Forbes Asia menerusi segmen 30 Under 30, serta rekodnya dalam memperjuangkan wanita dalam perniagaan juga menjadi inspirasi kepada kami.

“Tidak sabar rasanya untuk bekerja bersama Neelofa," katanya hari ini.

Dalam pada itu, Neelofa juga akui berasa teruja untuk menyertai keluarga AirAsia.

“Saya berasa teruja dan gembira untuk menggalas peranan baru dan ini juga merupakan cabaran buat diri saya.

"Kejayaan ini bukan hanya milik saya tetapi juga buat semua wanita di luar sana. Selama tujuh tahun saya meneroka industri hiburan dan perniagaan yang telah memberikan saya begitu banyak peluang untuk berkembang.

“Terima kasih AirAsia kerana memberikan peluang dan kepercayaan kepada saya,” ujarnya.

Neelofa merupakan seorang selebriti berjaya yang telah menceburi bidang keusahawan dan membina empayar perniagaannya sendiri menerusi jenama Naelofar Hijab.

Jenama tudung tersebut dilaporkan berada dalam landasan untuk mencapai sasaran jualan RM200 juta tahun ini dan boleh didapati di 37 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Australia, Arab Saudi dan Singapura.

Foto: Instagram Neelofa

Sumber: The Star Online