Penyanyi Amira Othman menerima segala kritikan yang diberikan terhadap mutu lakonannya dengan hati yang terbuka.

Baru sahaja selesai membintangi drama bersiri Red Velvet, bakat lakonan Amira mula diperkenalkan menerusi drama bersiri Abang Bomba I Love You.

"Saya bukan seorang pelakon tetapi saya mahu mencuba untuk mendalami ilmu lakonan. Bagi saya, semua pendatang baru dalam bidang tersebut pasti akan menerima kritikan di awal kerjaya mereka.

"Kritikan yang membina saya terima dengan hati yang terbuka. Saya akan cuba memperbaiki apa yang kurang dan mahu belajar dengan lebih mendalam lagi.

"Alhamdulillah, menerusi pandangan beberapa peminat, lakonan dalam Red Velvet menunjukkan peningkatan berbanding lakonan saya dalam Abang Bomba I Love You. Saya akan terus berusaha untuk memperbaiki kelemahan," katanya.

Dalam pada itu, Amira bakal muncul dengan lagu terbaru yang berjudul Mimpi Indah.

"Saya sendiri sedar saya sudah lama tak muncul dengan lagu baru. Proses itu lama kerana saya sendiri cerewet untuk memilih material.

"Insya-Allah, saya bakal muncul dengan lagu berjudul Mimpi Indah. Nantikan buah tangan terbaru saya," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Amira