Penyanyi dan peserta GegarVaganza 3, Elly Mazlein mendoakan agar bekas suaminya, Azmi Hatta bahagia bersama kekasihnya, aktres Faye Kusairi.

Menerusi laman Instagram penyanyi lagu Bungaku Bakawali itu, Elly memuatnaik paparan skrin artikel 'Akhirnya Faye Kusairi mengaku bekas suami Elly Mazlein kekasihnya'.

"Ermmm bagaikan pinang dibelah kapak.. sama-sama cantik dan padan.. Kakak lina doakan semoga bahagia tau.. Terima kasih kakak Faye.. Kakak lina terhutang budi.. Sebagai balasan kakak Lina hadiahkan doa buat kakak Faye dan abang Ajemi Hatta.. Meh cayang cikit kakak Faye," tulis Elly di laman Instagram miliknya.

Bertemu dengan Elly di sidang media GegarVaganza 3, penyanyi itu bakal ke mahkamah pada 12 Oktober ini untuk perbincangan lanjut bersama bekas suami mengenai nafkah anak mereka.

"Walaupun tarikh 12 Oktober sangat dekat dengan konsert pertama GV3 yang bakal berlangsung pada 16 Oktober, saya tetap menggagahkan diri demi anak saya.

"Saya akan pastikan saya buat yang terbaik dalam GV3 walaupun saya sibuk dengan perkara lain kerana saya lakukan semua ini demi anak dan bapa saya," kata Elly.

Azmi menceraikan Elly ketika dirinya sedang hamil pada 15 Oktober 2015 di Mahkamah Rendah Syariah Sepang selepas 11 bulan berumah tangga.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak, Putri Sara Sefhia yang lahir pada 9 Mac lalu.

Elly bakal bersaing di GV3 bersama 11 penyanyi lain seperti Azharina, Siti Sarah, Nora, Zur Eda, Intan Sarafina, Zarul Umbrella, Gmie Screen, Shidi Data, Ameng Spring, Razis Ismail dan Rem.

Saksikan Konsert GegarVaganza 3 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 16 Oktober ini secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) setiap Ahad, jam 9.00 malam.