Pelakon Fahrin Ahmad akui sempat menonton beberapa episod drama Korea popular Coffee Prince selepas menerima tawaran untuk berlakon drama tersebut dalam versi Malaysia.

Kata Fahrin, dia juga turut membuat ulangkaji tentang drama dan watak yang diterima sebelum memasuki set penggambaran.

“Untuk Coffee Prince, watak yang saya bawakan adalah Han Sung cuma dalam versi Malaysia nama sahaja yang ditukar menjadi Amri.

“Pada awalnya apabila ditawarkan untuk drama ini, saya tertanya-tanya Coffee Prince itu apa? Sebab saya tidak menonton drama Korea.

“Jadi bila dah dapat tawaran berlakon, saya sempatlah juga menonton 10 episod Coffee Prince Korea dan bila saya kaji balik rupanya drama itu adalah satu fenomena besar pada tahun 2007.

“Walaupun dah 10 tahun berlalu namun saya difahamkan sehingga kini pun masih ramai yang bercerita mengenai drama tersebut,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai Coffee Prince versi Malaysia, Fahrin memberitahu terkejut apabila ditawarkan untuk terlibat dalam sebuah projek besar seperti itu.

“Sebenarnya saya sendiri pun tak sangka ditawarkan untuk terlibat dalam projek yang sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat drama.

“Mana saya nak sangka sebab tiga lagi pelakon lain semuanya di pertengahan umur 20-an jika nak dibandingkan dengan saya.

“Tapi selepas melihat pada drama itu baru saya faham, rupanya watak Amri ini adalah seorang yang matang dan ‘cool’.

“Salah satu sebab saya terima tawaran ini juga adalah kerana drama ini agak mencabar. Bagi saya, bila ada jangkaan lebih itu juga adalah cabaran untuk saya.

“Sebab kita tidak tahu bagaimana reaksi dan penerimaan penonton terhadap projek besar seperti ini dan saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada Coffee Prince versi Malaysia,” jelasnya.

Selain Fahrin, Coffee Prince turut dibintangi oleh Fattah Amin, Janna Nick, dan Diana Danielle.

Versi asal Coffee Prince dilakonkan oleh Gong Yoo, Yoon Eun-hye, Lee Sun-kyun dan Chae Jung-an.

Jangan lupa saksikan MY Coffee Prince arahan Michael Ang yang secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123), setiap Isnin – Khamis bermula jam 10 malam.

Terlepas menonton episod pertama MY Coffee Prince? Jangan risau, anda boleh saksikan drama tersebut menerusi On Demand. Hanya sambungkan PVR ke wifi rumah anda sekarang.

Foto: Instagram @FahrinAhmad_fa

Teks oleh: Mya Amri