Pelakon dan pengacara Nadzmi Adhwa akui tidak pernah terlibat dengan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.

Nadzmi juga sekaligus menafikan dakwaan dirinya positif dadah seperti yang tersebar selepas penahanannya awal bulan lalu.

“Sepanjang umur 25 tahun ini saya tidak pernah terlibat dengan dadah. Ini juga kali pertama nama saya menjadi kontroversi disebabkan perkara ini.

“Saya ‘clean’ dan perkara yang terjadi itu adalah disebabkan saya berada pada situasi yang salah bersama orang yang salah.

“Memang saya ditahan tetapi penahanan saya adalah kurang daripada tempoh 24 jam.

“Alhamdulillah, saya tidak bersalah dan rasa sangat bersyukur.

“Saya juga dibebaskan dengan jaminan polis dan tiada sebarang pertuduhan yang dilakukan ke atas saya,” katanya.

Nadzmi ditemui pada sidang media khas Nadzmi Adhwa bertempat di pejabat pengurusannya, MindOder di Perdana The Place, Damansara sebentar tadi.

Dalam pada itu, Nadzmi juga akui mengalami kerugian sebanyak RM 80,000 disebabkan kejadian tersebut.

“Memang saya dan syarikat pengurusan menanggung kerugian ekoran kontroversi yang tercetus.

“Perkara dah berlaku dan tidak boleh di undur kembali.

“Kontroversi ini memberikan pengajaran buat diri saya.

“Saya mohon maaf atas apa yang terjadi dan saya berjanji perkara seperti ini tidak akan berulang lagi,” jelasnya.

Nadzmi ditahan pihak polis bersama seorang rakan dan adiknya pada 3 November lalu kerana disyaki memiliki dadah.

Teks oleh: Mya Amri