Pelakon Aeril Zafrel akui mahu kehidupan keluarganya stabil dahulu sebelum menambah zuriat ketiga.

Menurut Aeril, dia tidak perlu terburu-buru memandangkan kedua anaknya, Ahmad Fakhruddin Attar, 4, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 2 masih kecil.

“Bukan tidak mahu cuma nantilah, saya mahu pastikan keluarga saya stabil dahulu sebelum merancang untuk tambah anak.

“Lagipun anak pertama dan kedua masih kecil dan Wawa pun mempunyai beberapa perancangan untuk ke luar negara, jadi saya ikutkan sahaja.

“Saya pun ada merancang untuk pindah rumah, jadi biarlah kami fokus pada kerja dan bila semua dah stabil barulah fikir tentang anak ketiga,” katanya.

Aeril ditemui pada sidang media drama terbaru Astro berjudul Mandatori bertempat di GSC, Pavillion, Kuala Lumpur semalam.

Selain Aeril, pelakon lain yang turut terlibat dalam drama tersebut ialah Siti Saleha, Iedil Putra dan Amerul Affendi.

Drama bersiri enam episod itu merupakan adaptasi novel terkenal Ramlee Awang Murshid dan bakal disiarkan di Astro First Eksklusif (480) mulai 14 Disember depan.

Dengan hanya RM19.10, penonton boleh menikmati kesemua enam episod dengan berulang kali dalam tempoh lima hari dari waktu pembelian.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Mandatori boleh didapati menerusi platform digial On Demand.

Foto: Instagram @aeril_zafrel

Teks oleh: Mya Amri