Selepas diangkat sebagai pemenang anugerah Gold Award di Appies Malaysia Marketing Congress 2016 (Appies Malaysia) pada 20 Mei lalu, filem Polis Evo terbitan Astro Shaw mengulangi kejayaan serupa.

Filem box office dengan kutipan sebanyak RM17.47juta ini dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas Malaysia (Gold Award 2016 PMAA Dragons of Malaysia) PMAA Dragons 2016 di acara Secrets of the Dragon Masters yang diadakan di Sime Darby Convention Centre baru-baru ini.

Persidangan dan Anugerah PMAA Dragons Malaysia 2016 yang berlangsung selama satu hari iaitu pada 7 Oktober 2016 telah dianjurkan oleh Promotion Marketing Awards of Asia (PMAA). PMAA Dragons mengiktiraf dan memilih kempen promosi pasaran yang terbaik di rantau Asia. Kempen-kempen ini dikaji atas dasar strategi, keaslian, pelaksanaan kreatif dan keberkesanan.

Bersaing dengan 45 finalis lain, filem Polis Evo telah menerima Anugerah Emas Malaysia untuk Kempen Pemasaran Filem Polis Evo. Menariknya, Kempen Pemasaran Polis Evo yang dijayakan oleh Astro ini menjadikan ia sebagai syarikat korporat pertama yang memenangi anugerah Emas Malaysia. Sebelum ini, sepanjang penganjuran anugerah PMAAA Dragons, pemenang kebanyakannya datang dari agensi.





Selain itu, wakil dari Astro, Raja Jastina Arshad selaku Ketua Penjenamaan, Pemasaran Bahagian Melayu dan Astro Gempak turut membuat pembentangan mengenai kehebatan filem Polis Evo bagi Program Anugerah Dragons 2016. Di hujung pembentangan, Jastina memberitahu semua peminat untuk bersiap sedia kerana Polis Evo 2 bakal menemui peminat dan filem itu kini telah memasuki proses awal produksi.

Antara yang bertanggungjawab dalam penglibatan Polis Evo ke Anugerah PMAA Dragons 2016 ialah Ketua Penjenamaan, Pemasaran Bahagian Melayu dan Astro Gempak, Raja Jastina Arshad bersama Norsalvina Alwee, Mohd Faizal Fauzi, Zahirah Abdul Rahim, Mohd Azwan Abdullah, Muhammad Naqib Othman, Noorhirwan Ibrahim, Ira Fazir Che Ishak, Eyvon Lee dan Sharad Sean Kumar.