Kelab peminat Elyana menganjurkan majlis doa selamat dan solat hajat buat artis kesayagan mereka itu sebagai tanda sokongan kepada penyanyi yang sedang melawan kanser limfoma tahap empat itu.

Majlis anjuran Elyana Official Fan Club atau Elo FC itu akan diadakan pada pukul 8 malam, Khamis depan di masjid di Seksyen 15, Shah Alam.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai majlis tersebut boleh hubungi nombor tertera:

Pertanyaan lanjut (WhatsApp sahaja) :
Media/Penaja - Acu 011 3222 3441
Pendaftaran - Ika 011 2382 8465

Sementara itu, teman baik Elyana, Zuhairry Zainal memberitahu, ahli kelab sepakat menganjurkan majlis penuh keberkatan itu selepas mendapat tahu Elyana 'berjuang' melawan penyakit kanser seperti diumumkan di pentas musim keempat program realiti, Gegar Vaganza (GV4), minggu lalu.

"Saya dapat tahu mulanya ada lebih daripada satu majlis ingin dianjurkan. Selepas berbincang, ahli kelab sepakat berkumpul beramai-ramai dan menganjurkan satu majlis besar, minggu depan.

"Setakat ini, saya diberitahu ramai peminat termasuk bukan ahli kelab mahu menghadiri majlis doa selamat dan solat hajat yang dirancang.

"Insya-Allah, Elyana sudah mengesahkan akan menyertai majlis itu," katanya kepada BH Online.

Zuhairry yang sudah 18 tahun berkawan dengan Elyana antara yang terawal tahu mengenai penyakit dihidapi penyanyi itu.

Sebagai teman baik, Zuhairry tahu Elyana tidak mahu meraih simpati dengan mendedahkan penyakit dihidapi.

"Kalau Elyana berniat menagih simpati, mungkin dari awal lagi sudah diceritakan masalahnya.

"Sekarang ini, antara sebab Elyana mengelak untuk ditemubual media adalah kerana tidak mahu cerita itu terus berpanjangan, seolah-olah dia meminta simpati,” katanya.

Sumber: BH Online