Kanak-kanak berusia lima tahun antara bakat cilik terpilih dalam senarai 12 peserta Tahfiz Muda musim kedua terbitan Astro Oasis yang akan menemui penonton, 14 Disember ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali, berkata, Tahfiz Muda musim ini menampilkan kelainan apabila membuka peluang kepada negara-negara Nusantara untuk bertanding.

"Kami menemui ramai bakat cilik yang memiliki bakat besar dalam menghafaz Al-Quran dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Alhamdulillah kami mendapat peserta termuda yang berusia lima tahun dan ini merupakan kejutan kepada kami.

"Melihat akan sambutan positif ini, kami menambah jumlah peserta musim ini kepada 12 orang berbanding 10 orang pada musim yang lalu.

"Kami juga membuka peluang kepada negara-negara Nusantara dan ada dua peserta dari Indonesia terpilih untuk menyertai program ini.

"Pada tahun ini kami mengangkat tema ‘Quranku, Sahabatku’ dan para peserta terdiri daripada 6 peserta lelaki dan 6 peserta perempuan," katanya kepada Astro Gempak.

Ahmad Fuad berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenal 12 Peserta Tahfiz Muda yang berlangsung di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Kuala Lumpur, pada Rabu.

12 peserta bertuah yang terpilih ialah Naufal Haris Mohd Rizal,11 (Johor), Muhammad Mikail Muhammad Lukman,8 (Bangi), Gema Rasya Kaka Wiratama,9 (Indonesia), Arif Nur Aiman Ahdin,11 (Sabah) dan Mior Muhammad Hafizuddin Mir Idris,10 (Kuala Lumpur).

Siti Aisyah Firdaus,7 (Selangor), Syauqiyah Firdaus Shahfuddin,10 (Selangor), Nurul Syazliana Ayob,10 (Pahang), Fatimah Az-Zahra Muwafik,5 (Indonesia), Nur Khodijah Sohaimi,10 (Selangor), Amna Nafisa Malik,8 (Kuala Lumpur) dan Muhammad Fawwaz Mohd Farhan,11 (Selangor).

Tahfiz Muda 2017 akan diadili sepenuhnya oleh empat orang juri iaitu Ustaz PU Hafiz, Ustaz Don Daniyal sebagai ‘Hakim Munabbih (Hafazan) dan Ustazah Sharifah sebagai ‘Hakim Tilawah & Taranum’ serta Ustaz Zambri sebagai ‘Hakim Tajwid’.

Manakala Iman Muda Asyraf diberi tanggungjawab sebagai pengacara dan Elfira Loy akan menggalas tugas Pengacara Rehal.

Juara Tahfiz Muda bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 beserta trofi sumbangan Astro, naib juara akan mendapat RM7,000 beserta trofi, tempat ketiga RM5,000 beserta trofi dan tempat keempat RM3,000 beserta trofi.

Untuk musim ini, Almas Beauty & Health hadir selaku penaja.

Tahfiz Muda akan bersiaran pada setiap hari Khamis pukul 9 malam bermula 14 Disember ini di saluran Astro Oasis (106) dan siaran serentak di Maya HD (135).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi